Strategi Pemasaran Internet - Produk Digital - Pelaburan Hartanah





Wednesday, July 6, 2011

Motivasi : Kisah Shawn BeatBoxer Muda Malaysia

Motivasi : Kisah Shawn BeatBoxer

Gunakan lidah, bibir dan suara serentak
BUNYI-BUNYIAN yang terhasil daripada mulut remaja bernama Shawn Lee ini menerbitkan seribu satu persoalan tentang bagaimana anak muda itu mampu mengeluarkan bunyi-bunyi yang mustahil dilakukan manusia.
Penerima Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-18 itu kini mampu menghasilkan lebih 50 bunyi dengan mulutnya.
Dia yang juga pernah muncul dalam drama bersiri Hikayat Putera Shazlan gemar melakukan bunyi binatang dengan bunyi cengkerik menjadi bunyi kegemarannya.
Bunyi gajah, kucing, itik dan anjing menyalak antara bunyi-bunyi binatang yang mampu ditiru oleh Shawn selain bunyi alatan muzik seperti trompet, perangkat dram dan keyboard elektrik.
Jika seorang penyanyi perlu belajar teknik vokal dengan betul, beatboxer pula tidak memerlukan latihan spesifik bagi meningkatkan kemahiran mereka.
Menurut penuntut tahun kedua Institut Kejuruteraan Audio (SAE), Subang Jaya, Selangor itu, dia banyak belajar menerusi internet dan bertukar-tukar pendapat dengan beatboxer lain ketika mengadakan persembahan atau pun pertandingan.
Tidak meletakkan bakat sebagai sandaran utama memacu kerjaya sebagai seorang beatboxer, malah Shawn mengakui setiap orang sebenarnya berkebolehan melakukan beatboxing.
Hanya satu peratus bakat yang diperlukan bagi menjadi seorang beatboxer, selebihnya terletak kepada usaha masing-masing. Sesiapa sahaja boleh menjadi beatboxer kerana mulut manusia mampu menghasilkan pelbagai bunyi.
Bagi melakukan beatboxing, seseorang itu perlu menggunakan lidah, bibir serta suara secara serentak, jika tidak serentak ia tidak akan menjadi,” jelas remaja berusia 19 tahun itu.

Eksperimen spontan
Mula bereksperimen dengan beatboxing pada usia 14 tahun, Shawn melakukannya secara spontan ketika mendengar radio dan tidak mengetahui akan kewujudan istilah beatboxing.
Hanya selepas melihat beberapa video berkenaan beatboxing di YouTube, dia mula tertarik dengan aktiviti tersebut dan memuatkan video-video aksinya di laman YouTube miliknya.
Tuah menyebelahi Shawn apabila penganjur kepada Kejohanan Dunia Beatboxing menghantar jemputan kepadanya bagi menyertai kejohanan itu pada tahun 2009 setelah melihat keistimewaan Shawn sebagai beatboxer.
Tanpa berfikir panjang, Shawn terbang ke Berlin, Jerman bagi menyertai pertandingan tersebut dan sebagai pendatang baharu dalam dunia beatboxing, acara itu menjadi medan penting buat dirinya mengasah kebolehan bagi bergelar beatboxer terulung.
Percubaan pertama kalinya itu nyata membuahkan hasil apabila dia berjaya mendapat tempat kesembilan daripada 45 peserta yang hadir mewakili 40 negara.
Tingkat keyakinan Shawn berganda apabila dia menjuarai Pertandingan Beatboxing Malaysia AND1 pada tahun yang sama sekali gus meletakkan Shawn dalam kelompok beatboxer tempatan yang perlu digeruni.

Kolaborasi unik
Dengan gelaran tersebut, Shawn sudah boleh berbangga kerana selama lebih tiga tahun berkecimpung secara serius dalam dunia beatboxing, dia sudah bekerjasama dengan barisan artis-artis ternama tanah air.
Nama seperti Diana Danielle, Suki dan Altimet merupakan antara selebriti yang pernah berkongsi pentas dengannya melakukan persembahan gabungan nyanyian serta beatboxing yang ternyata menarik perhatian penonton.
Ada orang mengatakan beatboxing sesuai untuk genre hip hop sahaja tetapi, apabila saya berkolaborasi bersama artis-artis genre lain, saya sedar beatboxing tidak terhad kepada hip hop sahaja.
Saya suka mencuba sesuatu yang baharu dan setakat ini saya telah membuat persembahan diiringi muzik jazz dan hasilnya amat mengagumkan.
Gabungan beatboxing dengan instrumen muzik lain serta penyanyi mampu membuatkan satu persembahan itu kelihatan seperti sebuah grup yang memerlukan lima orang bagi menjayakannya,” lancar sahaja tutur Shawn yang mengidamkan kolaborasi bersama David Guetta dan Black Eyed Peas pada masa akan datang.
Kini setelah namanya mula mekar dalam lapangan beatboxing, satu persatu jemputan diterimanya malah, magis bakat beatboxing itu turut membolehkannya menerima undangan menjayakan persembahan di luar negara.
Australia, Brunei, Vietnam, Singapura dan Taiwan merupakan antara destinasi yang pernah menerima kunjungan Shawn dan rata-rata jemputan tersebut meminta Shawn mengisi slot persembahan bagi konsert-konsert yang diadakan.
Namun, masalah yang sering dihadapi Shawn ialah dia mudah diserang sakit tekak apabila menaiki pesawat dan perkara itu mengganggu kelancaran persembahannya.
Perkara paling ditakuti seorang beatboxer ialah mengalami sakit tekak pada hari persembahan.
Saya sering berdepan masalah itu jika menjayakan persembahan di luar negara namun, ia tidaklah teruk hingga membuatkan saya perlu membatalkan persembahan,” ucap Shawn jujur.

Violin dan beatboxing
Sementara itu, pemain violin ternama tanah air, Dennis Lau kini menjadi individu yang sering kelihatan mengiringi persembahan Shawn.
Walaupun jejaka berusia 26 tahun itu telah kukuh dalam industri muzik tanah air sebagai pemuzik, produser serta komposer, dia tidak segan bergandingan dengan Shawn yang masih hijau dalam industri tempatan.
Kami telah berkolaborasi selama hampir tiga tahun dan sepanjang penglibatan saya bersama Shawn, banyak perkara dapat saya pelajari.
Tidak mudah bagi melihat seorang beatboxer membuat persembahan bersama biola dan kami merupakan pelopor kepada gabungan tersebut.
Jika seorang pemain dram diibaratkan sebagai tulang belakang bagi sesuatu persembahan, keunikan dimiliki Shawn ialah dia mampu melakukan bunyi dram tersebut dan dalam masa yang sama menjadi tumpuan utama persembahan itu,” ujar komposer kepada lagu Mahkota nyanyian Syafinaz itu.
Gabungan beatboxing serta nyanyian jarang sekali dipertontonkan di Malaysia, namun persembahan seumpama itu telah menjadi kebiasaan di negara-negara Barat.
Juara program realiti TV, One In A Million musim pertama, Suki Low melihat kerjasama beatboxing bersama penyanyi perlu diperluaskan di Malaysia kerana ia mampu menjadikan persembahan tampak segar.
Pentas Festival Muzik Asia pada April lalu menjadi landasan pertama buat Suki dan Shawn melakukan persembahan bersama.
Sebagai seorang pemuzik, Shawn boleh dikategorikan sebagai individu kreatif yang sering tampil dengan idea baharu.
Dalam usia yang masih muda, dia cepat menyesuaikan diri serta mampu menjadikan setiap kolaborasi sebuah persembahan unik dan bertenaga,” kata Suki lagi.

Link untuk lihat gambar: Shawn sewaktu memberikan persembahan.
Artikel oleh: alif.abubakar@kosmo.com.my