Strategi Pemasaran Internet - Produk Digital - Pelaburan Hartanah





Monday, January 24, 2011

7 Tips Utama Murah Rezeki?


Assalamualaikum dan salam motivasi. Terima kasih kerana sudi melawat blog kami di http://motivasisantai.com/. Moga Allah SWT mengurniakan hati yang sentiasa bersih & ceria buat kita semua dan semoga Allah SWT sentiasa memberkati seluruh isi hidup kita. Jadi, bagaimana hari ini? Adakah anda bermotivasi? Ayuh teruskan bacaan anda. Hari ini Hamka akan kongsikan 7 Tips Murah Rezeki. Moga saudara saudari mendapat sedikit manfaat dari artikel ini.

7 Tips Murah Rezeki:
Oleh: Hamka

#1- Mohon Keampunan Dari Allah SWT dan Bertaubat Dari Dosa

Perkara ini teramat utama. Umpama menjadi benih bagi pohon rezeki. Jika kita sentiasa memohon keampunan Allah SWT, ibaratnya makin subur benih rezeki yang akan tumbuh. Pohonlah keampunan dari Allah SWT atas segala dosa dan kesilapan kita. Tidak perlu bertangguh untuk bertaubat. Memang benar, pintu taubat sentiasa terbuka, selagi Hari Kiamat belum menggegarkan dunia ini, namun jangan sampai kita terlewat untuk bertaubat. Elakkan diri kita dari tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi. Allah SWT pasti akan mengampunkan dosa Hamba-hambaNya yang bersungguh-sungguh. Apabila taubat ini sudah menjadi kemestian dalam diri dan hati kita, InsyaAllah pintu rezeki akan mula terbuka satu-persatu. Pintu keberkatan pula akan mula terbuka dengan izin Allah. Mohonlah hanya kepada Allah secara ‘direct’, tidak perlu perantaraan apa-apa. Hanya Allah yang Maha memakbulkan doa, taubat dan keinginan manusia, bukan bomoh, dukun, doktor atau apa jua makhluk lain.

#2 – Mohon Keampunan Sesama Umat Manusia.

Allah SWT telah pun menjanjikan keampunan kepada setiap hambaNya yang bersungguh-sungguh bertaubat. Namun, ini masih belum cukup untuk kita sebagai manusia betul-betul bebas dari dosa. Sebabnya, ada satu lagi tugas utama yang belum ‘settle’ iaitu mohon keampunan sesama manusia. Allah SWT Maha Pengampun, sudi memaafkan dosa-dosa hambaNya, namun dosa kita sesama manusia hanya manusia itu sendiri yang dapat mengampunkannya. Kita WAJIB memohon keampunan sesama manusia dengan teliti, sebut satu persatu dosa yang kita telah lakukan dan kemudian, mohon keampunan mereka. Contoh dosa sesama manusia, termasuklah antaranya mengumpat, mengutuk, hasad dengki, mencuri, merompak dll. Ini sesuai Hamka kaitkan dengan Hadis Rasulullah SAW yang lebih kurang maksudnya: “Dosa mengumpat lebih berat dari dosa zina”. (Betulkan jika Hamka tersilap). Dosa penzina hanya Allah SWT yang mengampunkannya, kerana dosa ini berkaitan manusia dengan Penciptanya, namun dosa mengumpat hanya dapat diampunkan oleh orang yang diumpat. Bayangkan sabda ini, “Lidah lebih tajam daripada pisau” dan “Dosa mengumpat umpama memakan daging saudara sendiri”. Maka, ini merupakan kunci kedua yang utama untuk menyuburkan lagi pohon rezeki yang telah kita tanam pada kunci #1 di atas.

#3 – Mohon Keampunan dan Doa Ibu Bapa

Kunci ketiga ini tak kurang juga pentingnya. Ramai orang terlepas pandang perkara ini. Pernah tak saudara saudari para pembaca mendengar “Syurga Itu Dibawah Tapak Kaki Ibu” dan frasa “Hidup Seorang Anak Tidak Akan Tenang Selagi Ada Terguris Hati Ibu Bapa Walaupun Sekelumit”. Hamka bagi contoh diri Hamka sendiri, suatu masa Hamka termenung memikirkan nasib hidup Hamka. Kadang-kadang itu, lepas satu, satu masalah datang. Muhasabah punya muhasabah, Hamka terdetik dihati dan terfikir satu perkara ini, mungkin ada sedikit walaupun 1% dalam hati ibu dan bapa Hamka pernah rasa terguris, dan mungkin Hamka terlepas pandang atau tidak sengaja meninggikan suara kepada mereka.

Ya, memang benar setiap pagi Hari Raya, kita mohon kemaafan kepada mereka, tapi bayangkan perbuatan atau perlakuan kita sepanjang tahun, mana mungkin hanya sekali itu memohon maaf, dan benar-benar terampun? Setuju atau tidak dengan pendapat Hamka? Hendak dijadikan cerita, Hamka pun susunaturkan pertemuan hati ke hati antara semua adik-beradik dan kedua ibu bapa kami. Kami luahkan segala apa yang terbuku dihati, dan mohon keampunan mereka sebenar-benar bersih keampunan. Alhamdulillah, hasilnya sejak hari ‘keramat’ itu, rezeki kami adik beradik seperti bunga wangi yang mula mekar menguntum. Kehidupan seluruh keluarga kami pula makin ceria, harmoni dan bahagia. Apa kata saudara saudari cuba kaedah ini untuk meluaskan lagi bukaan pintu rezeki.

#4 – Solat Sunat Dhuha

Solat sunat Dhuha termasuk dalam kandungan Hadis Rasulullah SAW antara amalan yang digalakkan untuk diamalkan. Antara amalan lain yang Baginda Rasulullah SAW galakkan umat Islam mengamalkannya termasuk juga solat sunat witir sebelum tidur, menjaga wuduk dan berpuasa 3 hari dalam setiap bulan. Mengikut kajian, Solat Sunat Dhuha yang dilakukan pada awal pagi hari mempunyai rahsia dan khasiat tersendiri. Gelombang warna pada waktu Dhuha adalah dalam mod warna kuning, iaitu berkait rapat dengan rezeki dan kebolehan komunikasi seseorang. Individu yang sentiasa mengamalkan Solat Dhuha akan lebih cenderung dan berkebolehan berkomunikasi dengan hebat dan menjadi ‘magnet rezeki’. Rezeki akan leebih mudah mendekati mereka (dengan izin Allah).

#5 – Menjaga Amal Makruf, Solat 5 Waktu dan Banyakkan Berzikir

Seperti yang umum sedia maklum, zikir mendekatkan lagi kita pada Allah SWT. Allah SWT amat menyayangi HambaNya yang sentiasa mengingatiNya. Allah SWT menjanjikan bantuan dan pertolongan buat para HambaNya yang sentiasa menunaikan solat, bersabar dengan segala ujianNya dan yang sentiasa mengingatiNya walaupun dalam keadaan susah mahupun senang.

#6 – Banyakkan Bersedekah

Tips keenam ini mungkin ada individu yang tidak bersetuju dengan pendapat Hamka. Tapi percayalah semakin banyak kita bersedekah, semakin Allah permurahkan rezeki. Sedekah dan zakat mempunyai rahsia tersendiri dimana ia dapat menyuburkan dan membersihkan rezeki yang kita terima sehari-harian. Maka, jangan takut atau kedekut untuk bersedekah (mengikut kemampuan). Lagipun, belum pernah kita terdengar orang muflis sebab bersedekah, setuju atau tidak? Tapi, muflis sebab kedekut, Hamka pasti ramai. Peganglah prinsip bersedekah umpama kita menabung untuk saham kita diakhirat nanti. Pahala yang terhasil dari amalan sedekah semakin hari semakin subur dan berpanjangan tanpa henti. Bersedekahlah dengan tulus ikhlas tanpa mengungkit-ungkit dan jauhkan diri dari bersedekah untuk mendapat nama. Peganglah prinsip ‘tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima’.

#7 – Berdoa Bersungguh-sungguh Diwaktu Mustajab Berdoa

Berdoa adalah senjata orang mukmin. Setiap amalan, usaha haruslah diiringi dengan doa dan kemudiannya bertawakkal kepada Allah SWT. Berdoalah kepada Allah agar memurahkan rezeki dan membukakan pintu rezeki kita seluas-luasnya. Terdapat masa dan ketika dimana ia dikatakan waktu yang mustajab untuk berdoa. Antaranya ialah:

i) Doa orang yang teraniaya

ii) Doa selepas solat 5 waktu

iii) Doa waktu antara 2 khutbah Jumaat

iv) Doa waktu solat dhuha

v) Doa diwaktu berjemaah

vi) Doa seorang ibu

vii) Doa ketika sedang sujud

Dan ada lagi waktu-waktu lain yang Hamka tidak nyatakan disini. Maka, gunalah sebaik-baiknya senjata orang Mukmin ini sebaik-baiknya. Mudah-mudahan Allah SWT memakbulkan setiap doa kita supaya hidup lebih diberkati, InsyaAllah.

Moga bertemu lagi dalam artikel seterusnya. Di MotivasiSantai DotCom, “Segalanya Tentang Motivasi”

Linked with:
http://motivasisantai.com/

http://hasrynazzuar.blogspot.com/

p/s: Jika anda rasa artikel ini baik dan harus dikongsikan, sila share kepada kawan-kawan dan sahabat-sahabat. =)



*****************
Pakar perniagaan Internet, personaliti TV & radio, Irfan Khairi mendedahkan kaedah sebenar memulakan perniagaan Internet dari rumah di acara 2-hari Revolusi Perniagaan Internet. Sertai Revolusi Perniagaan Internet bersama Irfan Khairi dan ketahui bagaimana anda boleh menjalankan perniagaan Internet yang berjaya. Klik di sini untuk maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment