Strategi Pemasaran Internet - Produk Digital - Pelaburan Hartanah





Tuesday, March 9, 2010

Kenali Ubat Anda

ASPIRIN

Aspirin adalah jenama yang digunakan oleh syarikat Bayaer daripada Jerman untuk asid asetilsalisilik, sejenis dadah daripada famili salisilat. Aspirin seringkali digunakan sebagai analgesik, anti-piretik, dan anti-keradangan. Di sesetengah negara, nama ini digunakan sebagai kata generik berbanding cap dagangan syarikat.
Aspirin kerap digunakan untuk mengawal demam, flu atau selesema. Namun setelah aspirin dikaitkan dengan sindrom Reye, aspirin tidak lagi digunakan untuk mengawal simptom flu. Pengambilan aspirin pada dos rendah buat jangkamasa yang lama boleh menghalang penghasilan tromboksan A2 di dalam platlet. Tromboksan A2 amat penting dalam menghalang pengagregatan platlet, seterusnya mengurangkan risiko penyakit jantung. Aspirin yang dihasilkan untuk tujuan ini datang dalam bentuk 75 mg pil mudah larut. Antara kesan-kesan sampingan pengambilan aspirin ialah distres gastrousus dan tinitus. Selain itu, pendarahan berlebihan turut berlaku kepada wanita dalam haid disebabkan perubahan kepada sifat anti-gumpal.

Sejarah Aspirin

Hippocrates, seorang Yunani menulis mengenai sejenis serbuk pahit yang diekstrak daripada kulit pohon Willow, yang mampu mengurangkan kesakitan dan meredakan demam. Ubat ini turut disebut di dalam tulisan tamadun purba Sumeria, Mesir, dan Assyria. Kaum orang asli Amerika juga menggunakan kulit willow untuk mengubati pening kepala, demam, keletihan otot, reumatisme, dan kesejukan. Pada 1763, Edmund Stone daripada Chipping Norton, Oxfordshire, England, mendapati kulit pohon willow mampu mengurangkan demam, namun penjelasan yang beliau berikan tidak tepat.

Ekstrak aktif, dikenali sebagai salisin, diasingkan daripada bentuk hablurnya oleh seorang ahli farmasi Perancis, Henri Leroux. Kemudian asid tersebut berjaya diasingkan daripada bentuk aslinya oleh seorang ahli kimia Itali, Raffaele Piria. Salisin adalah sangat berasid apabila larut di dalam air (pH = 2.4) dan larutan tersebut dipanggil asid salisilik.
Nama sistematik asid salisilik ialah asid 2-hidroksibenzoik.

Pada tahun 1839, penyelidik Jerman berjaya mengekstrak bahan kimia ini daripada bunga meadowsweet (Latin = spiraea). Walaupun efektif, bahan kimia ini didapati menyebabkan masalah penghadaman contohnya kepedihan perut dan cirit birit.
Ekstrak ini juga boleh membawa maut jika diambil secara berlebihan. Pada tahun 1897, Felix Hoffman, seorang ahli kimia yang bekerja dengan Friedrich Bayaer & Co. telah berjaya membezakan kumpulan fungsi hidroksil dalam asid salisilik daripada kumpulan asetil. (Asetil memberikan kesan buruk terhadap bahan kimia tersebut). Dadah baru ini dinamakan sebagai aspirin berdasarkan akronim:
A
: Kumpulan asetil
spir
: nama bunga tersebut dalam bahasa Latin
spiraea
: sukukata tambahan yang sering kali digunakan
in
: untuk dadah pada masa itu.

Formula Kimia bagi aspirin adalah: HCOO-C6H4-COOCH3

Aspirin masih mempunyai kesan sampingan tetapi dadah ini adalah lebih baik daripada asid salisilik atau salisin. Aspirin juga adalah dadah sintetik pertama di dunia dan penyebab utama perkembangan industri farmaseutikal. Bayaer mendaftar aspirin sebagai cap dagangan pada 6 Mac 1899.

Walau bagaimanapun, syarikat Bayaer kehilangan hak cap dagangannya setelah tentera Bersekutu merampas dan menjual aset luar syarikat tersebut selepas Perang Dunia Pertama. Di Amerika Syarikat (AS), hak penggunaan nama aspirin telah dibeli oleh kerajaan AS melalui Sterling Drug Inc., pada 1918. Biarpun sebelum tamatnya tarikh paten, Bayaer tidak berjaya menghalang pesaingnya daripada meniru formula dan mengunakan jenama aspirin. Oleh sebab wujudnya lambakan aspirin di pasaran, pengguna tidak dapat mengenal pasti siapa yang mengeluarkan "Aspirin". Akibatnya, Sterling turut sama gagal untuk menghalang "Aspirin" daripada digunakan sebagai kata generik. Di negara lain seperti Kanada, "Aspirin" masih dianggap cap dagangan terpelihara.

Bagaimana Aspirin Berfungsi

Menurut kajian John Vane, aspirin mengekang penghasilan hormon dalam badan yang dikenali sebagai prostaglandins. Siklooksigenase, sejenis enzim yang terlibat dalam penghasilan prostaglandins dan tromboksan, terencat tak berbalik apabila aspirin mengasetil enzim tersebut.
Prostaglandins ialah hormon yang dihasilkan di dalam badan dan mempunyai kesan pelbagai di dalam badan termasuk penghantaran isyarat sakit ke otak dan pemodulatan termostat hipotalamus. Tromboksan pula bertanggungjawab dalam pengagregatan platlet. Serangan jantung adalah disebabkan oleh ketulan darah dan isyarat sakit melampau ke otak. Oleh itu, pengurangan ketulan darah dan isyarat sakit ini disebabkan pengambilan aspirin pada kadar yang sedikit dianggap baik daripada segi perubatan.
Namun, kesannya, darah lambat membeku menyebabkan pendarahan berlebihan mungkin berlaku. Oleh itu mereka yang akan menjalani pembedahan atau mempunyai masalah pendarahan tidak digalakkan mengambil aspirin.

No comments:

Post a Comment